Lautan Hijau

Forum Orang-Orang Timur
 
HomeFAQSearchRegisterMemberlistUsergroupsLog in
Share | 
 

 Pembahagian Harta Menurut Islam

View previous topic View next topic Go down 
AuthorMessage
Admin
Admin


Posts: 4
Join date: 2007-09-26

PostSubject: Pembahagian Harta Menurut Islam   Wed Sep 26, 2007 8:27 am

Topik ini diadakan bagi menangani salah faham yang wujud di kalangan penganut lain terhadap sistem pembahagian harta menurut Islam. Namun apa yang bakal diperjelaskan ini tidaklah merangkumi secara mendalam akan sistem pembahagian harta tersebut, hanya sekadar mencukupi untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh penganut lain.

Pembahagian Harta Menurut Islam


Dalam surah Al Mulk: 1&2, Allah berfirman yang bermaksud,

“Maha Suci Allah yang di tanganNya berada segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu yang telah menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu siapa lebih baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

Dalam surah Al Anbiya: 35, Allah juga berfirman,

“Setiap jiwa akan merasakan mati. Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.”

Daripada kedua-dua ayat tersebut jelaslah bagi kita bahawa Allah telah menjadikan mati, hidup dan segala yang dihadapi oleh manusia, baik yang berupa kebaikan ataupun keburukan adalah sebagai ujian. Dengan kematian, maka berakhirlah ujian yang dihadapi oleh seseorang. Tetapi hampir setiap orang yang mati itu meninggalkan berbagai-bagai macam masalah yang menjadi ujian bagi yang hidup. Di antara masalah yang ditinggalkannya adalah harta yang semestinya tidak dapat dibawanya ke alam kematian. Harta yang ditinggalkan, meskipun ianya dianggap sebagai suatu kebaikan, tetapi ia juga merupakan ujian bagi orang-orang yang ada di sekelilingnya. Hampir setiap mereka yang hidup menginginkan harta tersebut, namun masalahnya siapakah di antara mereka yang berhak? Berapa kadar hak masing-masing? Adakah semua harta yang ditinggalkan tersebut boleh dibahagikan kepada mereka?

Orang yang tidak beriman dan tidak memahami perkara ini akan berusaha mencari jalan untuk memperolehi harta tersebut sebanyak mungkin, kalau boleh kesemuanya. Tetapi orang yang beriman dan memahami hukum Allah, sebelum dia mendekati harta tersebut, dia akan memastikan terlebih dahulu adakah dia tergolong ke dalam orang yang mempunyai hak untuk memperolehi harta tersebut. Jika benar dia tergolong dalam golongan yang mempunyai hak, maka kemudian memastikan berapa kadar haknya dan sebaginya. Orang yang beriman tentunya memahami bahawa segala sesuatu adalah milik Allah s.w.t. Dialah pemilik sebenar atas segala sesuatu. Pemilikan selainnya adalah pinjaman dan bukan sebenarnya, dan pemilikan tersebut hanya dianggap halal apabila ianya dimiliki melalui jalan yang diizinkan olehNya.

Oleh itu janganlah kita sampai mengambil apa yang Allah s.w.t tidak jadikan sebagai hak kita, atau apa yang Allah haramkan bagi kita memilikinya daripada harta yang ditinggalkan oleh seseorang yang mati.



Pengertian Faraid

Perkataan faraid adalah jama’ (plural) daripada perkataan faridoh, yang berasal daripada perkataan farado. Daripada segi bahasa, perkataan ini mempunyai makna yang banyak. Di antaranya menentukan, memastikan, menurunkan, menerangkan, menghalalkan, mewajibkan dan lain-lain. Menurut istilah syara’ , faraid adalah bahagian-bahagian yang telah ditetapkan oleh syara’ bagi ahli waris.

Sebagai satu bidang ilmu, faraid adalah ilmu mengenai cara pembahagian harta pusaka yang ditinggalkan oleh seseorang yang meninggal dunia kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Sumber daripada ilmu faraid ini ialah ‘ayatul mawarith’ iaitu ayat-yat yang menerangkan pembahagian harta pusaka dan hadis-hadis Nabi s.a.w, di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas r.a,

“Berikanlah bahagian-bahagian yang telah ditetapkan kepada yang berhak menerimanya, kemudian apa yang tersisa (bakinya), maka ia bagi orang lelaki yang terdekat.” (Lihat Sahih al Bukhari 8:187-189 dan Sahih Muslim 3:1233)



Sebab-sebab mewarisi

Pada zaman jahiliah, sebab-sebab mewarisi adalah sebagai berikut:

Pertama: dengan sebab keturunan, kerabat atau kekeluargaan tetapi dengan syarat bahawa daripada mereka yang diberi hak untuk mewarisi harta hanyalah lelaki yang berjuang untuk mendapatkan harta rampasan perang dan mempertahankan kehormatan keluarga dan kabilah. Sedangkan kaum perempuan dan kanak-kanak tidak diberi hak untuk mewarisi harta.

Kedua: dengan sebab pengangkatan iaitu anak orang lain yang diakui sebagai anaknya sendiri, dinisbahkan (dibinkan) kepada dirinya sendiri dan diberikan kepadanya hak untuk mewarisi hartanya.

Ketiga: dengan sebab perjanjian sumpah setia antara dua orang atau lebih, apabila masing-masing saling mengatakan “Darahku darahmu, kuburku kuburmu, kamu dapat mewarisi hartaku dan aku dapat mewarisi hartamu, kamu dapat meminta kepada ku dan aku dapat meminta kepada mu”, atau mereka saling mengatakan “Tanggungan ku tanggungan mu, kamu mewarisi hartaku dan aku mewarisi hartamu”.

Namun pada permulaan Islam, kita dapat perhatikan bahawa, sebab-sebab mewarisi tersebut (zaman Jahiliah) tidaklah dibatalkan sekaligus, tetapi dengan cara berperingkat-peringkat:

Pertama: Asas kekeluargaan diperbaiki dimana warisan hanya kepada lelaki yang mampu berjuang dan mempertahankankehormatan dibatalkan dengan mengikut sertakan kaum perempuan dan kanak-kanak dalam mewarisinya, sebagaimana diterangkan dalam firman Allah dalam surah Al Nisa: 7,

“Lelaki mempunyai bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabat dan perempuan juga mempunyai bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabat, baik sedikit atau banyak, menurut bahagian yangtelah ditetapkan.”

Kedua: Perwarisan dengan sebab pengangkatan dibatalkan dengan pembatalan system pengangkatan anak itu sendiri, sebagaimana kita lihat daripada firman Allah dalam surah Al Ahzad: 4 & 5,

“Dan Allah tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu sendiri. Yang demikian itu hanyalah ucapanmu dengan mulutmu sahaja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan menunjukkan jalan yang benar. Panggillah mereka dengan nama bapa-bapa mereka sendiri, yang demikian itu lebih adil di sisi Allah”.

Ketiga: Perjanjian sumpah setia dibatalkan dan digantikan dengan sistem persaudaraan dalam Islam. Pada permulaan hijrah, Rasulullah s.a.w telah mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar dan menjadikan persaudaraan ini sebagai sebab mewarisi sehingga ia dinasakh dengan turunnya firman Allah s.w.t iaitu surah Al Ahzad: 6,

“… dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah, sebahagian mereka lebih berhak (untuk mewarisi) sebahagian yang lain di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin, kecuali jika kamu berbuat baik kepada saudara-saudara seagamamu. Yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab Allah”

Kemudian diwajibkan berwasiat untuk ibu bapa serta kaum kerabat sebagaimana dinyatakan dalam surah Al Baqarah: 180,

“Diwajibkan atasmu, apabila seseorang di antara kamu didatangi oleh (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta, berwasiat untuk ibu bapa serta kaum kerabat dengan cara yang baik dan adil. Ini adalah sebagai kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.”

Keempat: Pada peringkat terakhir, barulah ditetapkan secara terperinci system pewarisan, asas-asas dan sebab-sebabnya, iaitu dengan diturunkan ‘ayatul mawarith’ seperti di bawah,

“Allah mensyari’atkan bagimu tentang (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anakmu, iaitu: bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan. Jika anak itu semuanya perempuan dan lebih daripada dua orang, maka bagi mereka dua per tiga daripada harta yang ditinggalkan; dan jika anak perempuan itu hanya seorang, maka ia memperolehi setengah harta. Untuk kedua ibu bapa, bagi masing-masing satu per enam dari harta yang ditinggalkan jika yang meninggal itu mempunyai anak; dan jika yang meninggal tidak mempunyai anak yang mewarisinya hanya kedua ibu bapa, maka ibunya mendapat satu per tiga. Jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat satu per enam. Pembahagian tersebut sesudah ditunaikan wasiat yang dibuatnya atau sesudah dibayarkan hutangnya. Tentang orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfa’atnya bagi mu. Ini adalah ketetapan daripada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (Al Nisa: 11)

“Dan bagi kamu (suami) satu per dua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri mu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika mereka mempunyai anak, maka bagi mu satu per empat daripada harta yang mereka tinggalkan sesudah ditunaikan wasiat yang mereka buat atau dibayarkan hutangnya. Para isteri memperoleh satu per empat daripada harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka bagi mereka satu per lapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah ditunaikan wasiat yang kamu buat atau dibayar hutangmu. Jika seseorang, baik lelaki mahupun perempuan, mati tanpa meninggalkan ayah dan anak, dan ia mempunyai seorang saudara lelaki (seibu) atau seorang saudara perempuan (seibu), maka bagi masing-masing daripada keduanya satu per enam harta. Tetapi jika mereka (saudara seibu) itu lebih daripada seorang, maka mereka bersekutu (berkongsi) pada yang satu per tiga sesudah ditunaikan wasiat yang dibuatnya atau dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat (kepada ahli waris) lain. (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari’at yang benar-benar daripada Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyabar” (Al Nisa: 12)

“Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang seorang yang mati tanpa meninggalkan ayah dan anak). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepada mu tentang orang yang mati tanpa meninggalkan ayah dan anak, iaitu: jika seorang meninggal dunia dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu satu per dua daripada harta yang ditinggalkan; dan saudaranya yang lelaki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika saudara perempuan itu tidak mempunyai anak. Jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi mereka dua per tiga daripada harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka terdiri daripada saudara-saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian lelaki sebanyak bahagian dua perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat; dan Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu” ( Al Nisa:176)



Cara Pembahagian Harta Pusaka

1. Apabila ahli waris terdiri daripada asabah sahaja, maka harta dibahagikan antara mereka dengan sama rata apabila semuanya lelaki; dan apabila terdiri daripada lelaki dan perempuan, maka bagi lelaki dua kali perempuan.

Nota: asabah adalah golongan yang disepakati mewarisi harta tersebut.

Jumlah bahagian yang harta pusaka tersebut mesti dibahagikan kepadanya untuk dibahagikan kepada ahli waris disebut aslul masalah. Dan aslul masalah ini diketahui dengan mengetahui angka pembahagi bersama atau angkali sepunya terkecil. Apabila ahli waris, umpamanya terdiri daripada dua anak lelaki dan dua anak perempuan, maka aslul masalahnya adalah enam, iaitu harta pusaka yang hendak dibahagikan tersebut dibahagi kepada enam bahagian: bagi tiap-tiap anak lelaki dua bahagian dan tiap-tiap anak perempuan satu bahagian.

2. Apabila di antara ahli waris terdapat orang yang mempunyai bahagian tertentu, seorang atau lebih, tetapi bahagiannya tersebut serupa (sama besar), maka aslul masalahnya adalah daripada pembahagi (makhraj) pecahan bahagian tersebut; pembahagi (makhraj) setengah adalah dua, pembahagi (makhraj) satu per tiga adalah tiga, satu per enam adalah enam, satu per empat adalah empat, satu per lapan adalah lapan dan sebagainya.

3. Apabila bahagiannya tidak sama pembahagi atau makhrajnya, apabila pembahagi atau makhraj yang berbeza itu saling masuk (tadakhul), seperti satu per tiga dan satu per enam, maka aslul masalahnya adalah yang terbanyak, iaitu enam; Jika setengan, satu per empat dan satu per lapan, maka aslul masalahnya adalah lapan.
Contohnya apabila ahli waris terdiri daripada ibu, seorang saudara lelaki seibu dan bapa saudara; maka aslul masalahnya adalah enam, kerana enam adalah yang terbanyak dan tiga masuk ke dalam enam.

ibu = satu per tiga = tiga per enam
saudara seibu = satu per enam
bapa saudara = bakinya iaitu dua per enam.

4. Apabila pembahagi atau makhraj yang berbeza tersebut saling sepakat (tawafuk) dengan suatu bahagian daripada bahagian-bahagiannya, seperti enam danlapan yang sepakat dengan dua, maka aslul masalahnya adalah dengan mendarab salah satunya dengan yang lain setelah dibahagi dengan bilangan yang disepakati, iaitu lapan didarab enam per dua atau enam didarab lapan per dua. Maka aslul masalahnya menjadi dua puluh empat.
Contohnya apabila waris terdiri daripada ibu, isteri dan seorang anak lelaki, dimana bagi ibu satu per enam, bagi isteri satu per lapan dan bagi anak lelakinya bakinya; maka harta pusaka dibahagikan menjadi dua puluh empat bahagian; bagi ibu empat bahagian, bagi isteri tiga bahagian dan bakinya bagi anak lelaki.

ibu = satu per enam = empat per dua puluh empat
isteri = satu per lapan = tiga per dua puluh empat
anak lelaki = bakinya iaitu tujuh belas per dua puluh empat

5. Masalah 'awl (peningkatan aslul masalah)

Apabila aslul masalahnya tidak mencukupi untuk dibahagikan kepada orang-orang yang telah ditetapkan bahagiannya, maka ia mesti ditingkatkan dan peningkatan ini disebut "'awl".
Contohnya:
a) Enam

Enam mesti ditingkatkan menjadi tujuh dalam hal ahli waris terdiri daripada suami dan dua saudara perempuan seibu bapa atau sebapa, di mana suami mendapat setengah dan kedua saudara perempuan mendapat dua per tiga. Aslul masalahnya adalah enam.

Suami = 1/2 = 3/6
Kedua saudara perempuan = 2/3 =4/6

3/6 + 4/6 = 7/6

Ini tidak mencukupi untuk dibahagikan kepada suami yang mendapat 3 bahagian jika harta tersebut diberikan 4 bahagian kepada kedua saudara perempuan itu. Maka untuk mencukupinya, aslul masalah perlu ditingkatkan kepada tujuh, supaya nantinya suami akan mendapat 3 bahagian manakala kedua saudara perempuan itu mendapat 4 bahagian daripada tujuh bahagian harta tersebut. Contohnya: Jika harta pusaka bernilai RM 420 000.00 (empat ratus dua puluh ribu ringgit), maka ia mesti dibahagi kepada tujuh bahagian di mana setiap bahagian bernilai RM 60 000.00. Suami akan mendapat tiga bahagian iaitu RM 180 000.00 dan kedua saudara perempuan akan mendapat empat bahagian iaitu RM 240 000.00.
Dengan demikian bahagian masing-masing menjadi berkurangan, mengikut perbandingan bahagian masing-masing: Suami mendapat kurang setengah kerana dia hanya mendapat tiga per tujuh dan kedua saudapa perempuan mendapat kurang daripada dua per tiga, kerana mereka hanya memperolehi empat per tujuh bahagian.

Menurut satu riwayat, bahawa masalah ini merupakan awal pembahagian yang ditingkatkan dalam Islam iaitu bahawa Umar bin Khattab r.a telah mengumpulkan para sahabat dan berkata: "Allah s.w.t telah menetapkan bagi suami setengah dan bagi kedua saudara perempuan dua per tiga. Kalau aku dahulukan dengan memberi suami bahagiannya, maka bakinya tidak mencukupi untuk memenuhi hak kedua saudara perempuannya, dan sebaliknya kalau aku dahulukan memberi hakkedua saudara perempuannya, maka bakinya tidak mencukupi untuk memenuhi hak suaminya. Maka tunjukkanlah kepada ku cara penyelesaiannya."

Maka Al Abbas r.a mengisyaratkan supaya ditingkatkan aslul masalahnya dengan berkata: "Tidakkah anda melihat, seandainya seorang mati dengan meninggalkan wang 6 dirham, sedangkan dia berhutang kepada seorang 3 dirham dan kepada seorang yang lain 4 dirham, bukankah harta yang 6 dirham itu dibahagi kepada tujuh bahagian?"

Umar bin Khattab r.a menjawab: "Ya"

Al Abbas r.a berkata: "Begitu juga dalam masalah ini"

Maka para sahabat lain pun semuanya bersepakat atas penyelesaian yang sedemikian.
Back to top Go down
View user profile http://lautanhijau.forumotion.com
 

Pembahagian Harta Menurut Islam

View previous topic View next topic Back to top 
Page 1 of 1

 Similar topics

-
» cara pembahagian masa study
» EKSKLUZIVE/ Harta sekrete, Greqisë i falim kufirin deri në Qeparo
» cerpen pendek islam yang menarik !
» nama anak perempuan dalam islam
» Parable of one who enters Islam

Permissions in this forum:You cannot reply to topics in this forum
Lautan Hijau ::  :: -